Nga Kor Ming

MELAKA – Kerajaan memberi jaminan krisis tenaga global tidak akan menjejaskan sektor perumahan negara termasuk usaha pemulihan projek sakit, susulan asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh dan berdaya tahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, keyakinan itu selari dengan analisis institusi kewangan antarabangsa, JP Morgan yang menyenaraikan Malaysia bersama China sebagai antara negara di Asia yang berpotensi bertahan dalam krisis tersebut.

“Berdasarkan analisis JP Morgan, hanya dua negara di Asia yang dijangka mampu bertahan dengan baik iaitu China dan Malaysia.

“Ini menunjukkan asas ekonomi kita kukuh dan resilient,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Klebang 2 dan Residensi Bukit Katil di Pangsapuri PR1MA @ Klebang 2 di sini hari ini.

Kerajaan memberi jaminan krisis tenaga global tidak akan menjejaskan sektor perumahan negara termasuk usaha pemulihan projek sakit, susulan asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh dan berdaya tahan.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kerajaan turut mengambil langkah proaktif memastikan bekalan tenaga negara mencukupi dan stabil bagi mengelakkan gangguan kepada sektor pembinaan serta ekonomi keseluruhan.

“Kita pastikan stok mencukupi, tiada keperluan pembelian panik, dan harga bahan api kekal stabil dan ini penting supaya sektor pembinaan dan projek perumahan terus berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, situasi di Malaysia jauh lebih baik berbanding beberapa negara lain yang kini berdepan tekanan serius akibat krisis tenaga global.

“Sebab itu kita lihat Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga, Thailand sudah beratur tiga ke empat jam (di stesen minyak), Indonesia hari ini sudah umum catuan setiap kereta hanya 50 liter.

“Australia sudah umum (catuan bahan api) hanya 40 liter setiap kereta, Malaysia kita kekal selamat. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita mampu bertahan dengan bekalan mencukupi dan harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter, antara yang terendah di dunia,” katanya.

Mengulas sektor perumahan, beliau menegaskan, KPKT kini memantau rapi semua projek bagi memastikan sebarang risiko akibat ketidaktentuan global dapat ditangani lebih awal.

“Ini termasuklah menubuhkan pasukan petugas khas sebagai antara jaminan utama sektor perumahan negara kekal stabil dan tidak terjejas ketika berdepan krisis global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast