JOHOR BAHRU – Sindiket yang menjadikan sebuah pangsapuri di Seri Alam di sini sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula pelbagai jenis dadah bernilai RM1.24 juta terbongkar dalam serbuan pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama dilakukan di Taman Megah Ria manakala serbuan kedua di rumah kedai di Taman Sri Tebrau.
“Hasil pemeriksaan dilakukan di lokasi serbuan pertama, polis merampas termasuk sembilan bekas serbuk MDMA (7.8 kg), 44 peket serbuk ekstasi (1.1 kg), 40 botol cecair MDMA (2.4 liter), 80 biji pil Erimin 5, serta syabu dan pelbagai peralatan pembungkusan.
“Serbuan di lokasi kedua pula menemui pelbagai jenis dadah termasuk dua peket serbuk MDMA (69 gram), 212 biji pil ekstasi (65.08 gram), 3 peket ketamin (310 gram), 4 peket serbuk ekstasi (76 gram), 1 peket syabu (100 gram), 2 peket heroin (174 gram) serta 52 katrij cecair ketamin (104 ml),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, empat lelaki tempatan, seorang lelaki warganegara Singapura dan seorang wanita tempatan berusia 31 hingga 60 tahun turut ditahan.
Menurutnya, suspek kedua iaitu lelaki tempatan bertindak sebagai koordinator aktiviti pengedaran manakala suspek keempat dan kelima adalah pembekal.
“Suspek pertama, ketiga, keenam dan ketujuh dikenal pasti sebagai ahli sindiket,” katanya.
Jelasnya, sindiket itu dipercayai aktif sejak Oktober 2025 dan menggunakan pangsapuri yang pengawal dan berpagar sebagai pusat simpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.
“Bekalan dadah diperoleh dari luar Johor dan dibungkus semula di pangsapuri. Pembeli daripada sindiket merupakan pelanggan tetap yang biasanya di kelab malam,” ujar beliau.
Tambahnya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa, ujian awal air kencing mendapati enam suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi positif benzodiazepine.
“Polis turut merampas kereta, motosikal dan wang tunai bernilai lebih RM58,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.- MalaysiaGazette
















