KUALA LUMPUR – Yayasan Kubra hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ancaman daripada kumpulan tertentu untuk menceroboh semula tanah miliknya bagi melaksanakan upacara keagamaan.
Peguam yayasan itu, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, laporan tersebut dibuat oleh dua wakil yayasan di Balai Polis Rawang dekat sini.
Dalam kenyataan menerusi laman Facebook, Muhammad Hariz berkata, yayasan menerima maklumat berhubung tindakan kumpulan individu yang merancang untuk melakukan pencerobohan semula bagi melakukan upacara anutan di tapak tanah milik anak guamnya.
“Segala struktur rumah anutan haram telah runtuh sepenuhnya pada 25 Februari lalu. Malah tiada sebarang berhala berada di tapak tanah Yayasan Kubra setelah pihak penceroboh kuil haram sendiri membawa keluar berhalanya.
“Cubaan tindakan penceroboh membangkitkan kekecohan, rusuhan atau kegemparan awam terjumlah kepada kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, ujarnya, Yayasan Kubra membuat laporan polis bagi mendapatkan kawalan keselamatan dan mengelakkan sebarang cubaan rusuhan jenayah daripada penceroboh tanah yang jelas tidak menghormati perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menurutnya, jika perintah Mahkamah Tinggi juga tidak dihormati, Yayasan Kubra memohon perhatian dan tindakan segera pihak berkuasa dan kerajaan untuk menangkap penceroboh yang jelas ingin berterusan menceroboh tanah Yayasan Kubra.
Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan perintah awal Mahkamah Majistret Selayang yang mengarahkan satu inkuiri aduan oleh penceroboh tanah di Rawang Perdana, Selangor, diadakan berhubung binaan struktur rumah anutan haram di kawasan tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan oleh Yayasan Kubra.
Bagaimanapun, peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman sebagai responden memaklumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang memutuskan, wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah yang menempatkan binaan kuil terbabit.
Majistret Chai Guan Hock kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak yang terlibat dalam pertikaian tersebut hadir ke mahkamah untuk pendengaran inkuiri di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Beliau juga meminta mereka memfailkan kenyataan bertulis berkenaan milikan sebenar terhadap tanah tersebut dan mengarahkan salinan perintah disampaikan kepada pihak-pihak yang dinamakan dalam kes saman tersebut. – MalaysiaGazette















