Tinjauan Malaysia Gazette mendapati perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang berakhir 31 Mac lalu memulakan semula operasi hari ini di Stesen Bas Lenggong. Foto SYAKIR YUSOF, 03 APRIL 2026.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang berakhir 31 Mac lalu memulakan semula operasi hari ini di Stesen Bas Lenggong. Foto SYAKIR YUSOF, 03 APRIL 2026.

IPOH – Isu penamatan perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang meresahkan penduduk sejak 1 April berjaya diselesaikan hasil campur tangan segera Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Keputusan ini dibuat susulan satu sesi perbincangan yang telah diadakan antara pihak syarikat dan Pejabat Menteri Besar Perak berhubung isu penamatan operasi laluan tersebut yang menimbulkan kesukaran kepada penduduk setempat.

Pengurus Besar Perak Transit Berhad, Ismail Jamal dalam satu kenyataan memberitahu, perkhidmatan bas henti-henti melibatkan laluan 99A, 99B, 99C dan 99D akan mula beroperasi semula bermula 3 April.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira permintaan daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Beliau amat prihatin terhadap keperluan penduduk setempat yang amat bergantung kepada perkhidmatan bas bagi laluan tersebut sebagai pengangkutan harian,” katanya.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang dihentikan sebelum ini mula beroperasi bermula hari ini di Stesen Bas Lenggong. Foto SYAKIR YUSOF, 03 APRIL 2026.

Ismail berkata, bagaimanapun pengoperasian semula ini adalah bersifat sementara, sehingga satu keputusan muktamad diperolehi berhubung status kelulusan permohonan subsidi pengangkutan awam daripada pihak Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

Difahamkan, perbincangan telah dibuat antara pejabat Menteri Besar dengan pihak syarikat pada Khamis itu antara lain menyuarakan kebimbangan Saarani terhadap kesan penamatan perkhidmatan kepada kehidupan harian rakyat, khususnya pelajar sekolah, warga emas, serta penduduk yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan harian.

Terdahulu media melaporkan penduduk di sekitar Lenggong merayu agar perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar–Lenggong–Gerik dikembalikan segera selepas ia ditamatkan sejak 1 April lalu yang menjejaskan kehidupan harian pelbagai lapisan masyarakat.

Rata-rata pengguna terutama warga emas dan golongan berpendapatan rendah kini berdepan kesukaran untuk bergerak khususnya bagi urusan mendapatkan rawatan, bekerja dan ke sekolah.

Bagaimanapun perkhidmatan berkenaan disambung semula dengan pengumuman dibuat menerusi makluman rasmi di laman Facebook Perak Transit Berhad – Bus Services semalam.

Para penumpang yang dihargai, dimaklumkan bahawa perkhidmatan Bas Henti-Henti bagi laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik melibatkan laluan 99A, 99B, 99C & 99D akan mula beroperasi semula. Tarikh operasi pada Jumaat, 3 April 2026,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk Lenggong lega, bas henti-henti kembali beroperasi

Penduduk Lenggong lega, bas henti-henti kembali beroperasi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast