Facebook Public Health Malaysia
Facebook Public Health Malaysia

KUALA LUMPUR — Masuk sahaja pejabat waktu tengah hari, pasti ada yang tanpa berlengah merampas alat kawalan pendingin hawa dan terus menekan suhu serendah 16°C siap dengan mod high fan.

Rasionalnya mudah. Ia kononnya mahu menetapkan suhu paling rendah, baru cepat sejuk.

Namun, hakikatnya tindakan itu bukan sahaja silap daripada sudut sains malah berpotensi ‘membakar’ bil elektrik tanpa disedari.

Menurut perkongsian Facebook Public Health Malaysia, langkah menetapkan suhu ke 16°C sebenarnya tidak akan menyejukkan bilik dengan lebih cepat.

Sebaliknya, ia hanya memaksa pemampat (compressor) pendingan hawa bekerja keras tanpa henti untuk ‘menyedut’ keluar haba panas semata-mata untuk mencapai tahap yang hampir mustahil dalam keadaan cuaca Malaysia yang lembap dan panas.

“Sebab itulah kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga menetapkan suhu pejabat pada 24°C. Kenapa nombor ini? Konsep ‘lawan beza suhu’.

“Lagi jauh beza antara suhu luar yang panas (contoh: 34°C) dengan suhu dalam yang kita paksa jadi sejuk (16°C), lagi kuat mesin bekerja dan menggila bil elektrik anda melambung! 24°C adalah titik keseimbangan (sweet spot),” jelas hantaran berkenaan.

Kenyataan itu jelas selari dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam di mana kerajaan akan memperketat penggunaan tenaga di bangunan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan pembaziran dalam sektor awam.

Jelas beliau, antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah celsius.

Dalam pada itu, Public Health Malaysia turut berkata, ia adalah salah satu ketetapan daripada Suruhanjaya Tenaga supaya menetapkan suhu pejabat pada suhu yang sama.

Angka itu bukan dipilih secara rawak sebaliknya berdasarkan kajian teknikal dan pertimbangan keseimbangan antara keselesaan serta penjimatan tenaga.

“Menurut Jabatan Alam Sekitar Malaysia, menaikkan tetapan pendingin hawa sebanyak 1°C sahaja boleh mengurangkan penggunaan elektrik sekitar 7%.

“Bayangkan penjimatan besar kepada syarikat atau negara jika anda naikkan dari 20°C kepada 24°C!,” kata kenyataan itu lagi.

Daripada sudut biologi pula, suhu 24°C dalam ruang tertutup dengan kelembapan terkawal sebenarnya sangat selesa untuk manusia yang memakai pakaian pejabat biasa.

Pendingin hawa bukan sekadar menurunkan suhu tetapi turut menyedut kelembapan udara, menjadikan suasana lebih nyaman tanpa perlu terlalu sejuk.

“Mesejnya ialah jangan bazir tenaga untuk rasa sejuk yang berlebihan, sedangkan kos operasi dan beban grid elektrik sedang memuncak.

“Kadang-kadang, penjimatan besar tak perlukan teknologi canggih. Ia cuma perlukan sedikit ilmu sains dan empati pada angka di remote aircond anda,” kata FB berkenaan lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast