PUTRAJAYA — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menganjurkan Karnival Mega JPJ MADANI 2026 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 April ini di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penganjuran karnival tersebut merupakan inisiatif jabatan dalam mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat melalui pendekatan lebih terbuka, inklusif dan berimpak.
Menurutnya, program berkenaan akan dianjurkan dengan kerjasama Media Prima menerusi platform Jom Heboh yang mempunyai capaian luas bagi meningkatkan keterlibatan masyarakat.
“Program ini juga bersempena sambutan ulang tahun ke-80 JPJ dan menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan antara jabatan dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Setia JPJ Edisi Mac 2026 di sini, hari ini.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti menarik akan disediakan sepanjang tiga hari penganjuran karnival tersebut.
Katanya, penganjuran secara kolaborasi strategik itu juga bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif JPJ kepada orang ramai secara lebih berkesan.
Dalam pada itu, majlis perasmian karnival tersebut dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 25 April. -MalaysiaGazette
















