Penasihat DAP, Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa bertindak pantas sebelum perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tumbang satu demi satu susulan tekanan kos berganda akibat krisis ekonomi global.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, keadaan semasa semakin mendesak kerana sektor PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara yang paling mudah terkesan dengan kejutan pasaran.

Menurut beliau, konflik di Asia Barat telah mencetuskan gelombang kenaikan kos yang memberi impak langsung kepada rakyat serta industri tempatan.

Katanya, PMKS kini berdepan tekanan serentak akibat lonjakan harga minyak dan krisis kekurangan cip memori DRAM yang menjejaskan rantaian bekalan global.

Situasi itu, jelasnya, menyebabkan kos operasi meningkat mendadak selain menyukarkan syarikat mendapatkan peralatan penting untuk meneruskan perniagaan.

“Terdapat keperluan untuk mengurangkan retorik dan mengambil tindakan segera dengan memberikan bantuan langsung kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang paling terkesan akibat tekanan berganda kenaikan harga serta kekurangan bekalan minyak dan DRAM,” katanya.

Beliau menegaskan bantuan segera amat kritikal bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan kecil yang kini berada di ambang krisis.

Lim turut mencadangkan kerajaan memudah cara pinjaman tanpa faedah dan tanpa cagaran sebanyak RM50,000 kepada PMKS sebagai talian hayat kewangan.

“Pemberian pinjaman RM5 bilion dalam jumlah RM50,000 akan memberi manfaat kepada 100,000 PMKS, sekali gus menyediakan kelegaan kewangan nyata dan talian hayat ekonomi kepada perniagaan yang tertekan.

“Pinjaman RM5 bilion ini perlu disertai moratorium pembayaran kadar faedah bank bagi pinjaman sedia ada sehingga hujung tahun ini,” katanya lagi.

Menurutnya, langkah pantas diperlukan kerana kerajaan mesti bertindak segera bagi menangani krisis kelangsungan hidup yang sedang dihadapi sektor PMKS.

Antara langkah segera dicadangkan termasuk moratorium peluasan cukai, kos kawal selia dan pematuhan dengan menangguhkan kenaikan SST, pematuhan e-invois serta caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing yang berkuat kuasa sejak lewat tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast