JOHOR BAHRU – Krisis bekalan tenaga akibat perang di Asia Barat tidak memberi kesan terhadap projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru–Singapura yang terus berjalan seperti biasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tiada pertambahan kos dan tiada permintaan daripada kontraktor untuk menyemak semula kos projek berkenaan.
Jelas beliau, RTS Link itu kini berada pada fasa kritikal dalam tahun ini menjelang pembukaannya pada Januari 2027.
“Setakat ini saya belum menerima sebarang permintaan daripada kontraktor berhubung kenaikan kos projek. Saya yakin kos masih dapat dikawal mengikut anggaran asal walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi global.
“Projek ini kini mencapai tahap hampir siap daripada segi kerja fizikal manakala fasa semasa tertumpu kepada pemasangan sistem serta ujian dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan ke tapak projek berkenaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar–Bukit Chagar di sini hari ini.
Beliau memaklumkan, kerja-kerja fizikal seperti struktur dan kerja sivil di bangunan berkenaan hampir siap sepenuhnya.
Pada masa ini katanya, sudah memasuki fasa pemasangan sistem serta integrasi yang merupakan peringkat penting sebelum operasi.
Menurut Siew Fook, walaupun projek mega seperti RTS berdepan cabaran termasuk isu rantaian bekalan dan ketidaktentuan global, semua pihak terlibat memberi komitmen untuk memastikan projek disiapkan mengikut jadual.
“Saya telah diberi taklimat oleh pihak kontraktor mengenai fasa seterusnya projek, merangkumi pemasangan sistem, ujian penerimaan, integrasi serta ujian dinamik yang kesemuanya akan membawa kepada peringkat Final Field Readiness (FFR).
“Berdasarkan kemajuan semasa, saya yakin FFR boleh dimulakan seawal September, seterusnya membuka laluan kepada sasaran pembukaan projek pada penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau memberitahu, antara kemajuan projek termasuk pemasangan e-gate sudah siap sepenuhnya manakala kerja-kerja pemasangan peralatan saringan badan dan pengimbas bagasi telah dimulakan, dua bulan lebih awal daripada sasaran asal pada Mei 2026.
“In juga akan dilengkapi dengan 10 lorong saringan keselamatan, 18-unit pengimbas bagasi serta 100 laluan e-gate termasuk laluan khas untuk penumpang tanpa bagasi,” ujarnya.
Tambahnya, komunikasi terbuka antara Malaysia dan Singapura juga menjadi faktor penting dalam memastikan sebarang isu dapat ditangani segera.
Beliau dijadualkan melawat Singapura pada penghujung bulan ini bagi bertemu rakan sejawatnya serta meninjau perkembangan di Woodlands North Station.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata ujian tren RTS sudah bermula sejak beberapa bulan lalu dan akan diteruskan secara berperingkat-peringkat sehingga penghujung tahun ini sebelum operasi penuh dilaksanakan.
Ujarnya lagi, projek itu dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah ketika waktu puncak sekali gus menjadi penyelesaian utama kepada kesesakan di Tambak Johor.
Projek sepanjang kira-kira empat kilometer itu dijangka menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands dengan tempoh perjalanan sekitar lima minit apabila beroperasi kelak.,- MalaysiaGazette
















