KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan serius membabitkan dua penunggang motosikal, termasuk seorang yang putus kaki.
Tertuduh, TS Kugenthiran yang berusia 25 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmin Tuan Roslan selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah Honda City secara melulu sehingga melanggar dua motosikal yang ditunggang Muhammad Afiq Zayani Azliyuszaini, 24, dan Muhammad Hairy Abdul Rahman, 19, di Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nadzli Rizal.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan, namun pembelaan memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama baik dan tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun ini untuk serahan dokumen.
Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan tertuduh mematuhi lampu isyarat merah ketika melalui persimpangan berkenaan.
Dua mangsa yang sedang melintas dengan lampu hijau dirempuh kenderaan dipandu tertuduh, mengakibatkan kecederaan parah.
Mangsa berusia 24 tahun dilaporkan putus kaki kiri, manakala seorang lagi mengalami patah tangan serta kaki kiri dan kedua-duanya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). -MalaysiaGazette
















