KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Mei depan bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan sementara pembayaran kira-kira AS$1.3 bilion (RM6.1b) kepada SRC International Sdn Bhd, selain memutuskan isu kos berkaitan kes tersebut.

Tarikh itu disahkan peguam Lim Chee Wee mewakili SRC yang memaklumkan penetapan dibuat oleh Penolong Pendaftar Mohd Syafiq Mustaza menerusi pengurusan kes secara dalam talian.

“Prosiding pada bulan depan akan dijalankan menerusi Zoom (secara dalam talian),” katanya hari ini.

Permohonan itu dikemukakan Najib susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu yang memutuskan beliau bertanggungjawab terhadap kerugian dialami SRC International.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam penghakimannya mendapati bekas perdana menteri itu melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Mahkamah membenarkan tuntutan SRC berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib, selain mengambil kira tambahan AS$120 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, menjadikan jumlah keseluruhan liabiliti sekitar AS$1.3 bilion.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menetapkan kos pada peringkat itu dan membenarkan Najib memohon penangguhan sementara pelaksanaan perintah bayaran berkenaan dengan syarat permohonan difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan.

SRC memulakan saman terhadap Najib pada Mei 2021, dengan mendakwa beliau melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kuasa serta menyeleweng dana syarikat bagi kepentingan peribadi.

Pendengaran pada 7 Mei ini dijangka menentukan sama ada Najib dibenarkan menangguhkan bayaran tersebut sementara menunggu proses rayuan atau perlu melaksanakan perintah mahkamah berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast