Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang KEADILAN Wilayah Persekutuan ketika di Komune Living & Wellness, Bandar Tun Razak. Foto MOHD ADZLAN, 03 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global telah dikesan dan diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh empat hari sejak 29 Mac lalu, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut beliau, kandungan tidak sahih itu melibatkan isu sensitif seperti kenaikan harga petrol, dakwaan kerajaan ‘membayar tol’ di Selat Hormuz serta kenaikan tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang disebarkan, terutama dalam situasi krisis tenaga global yang sedang melanda dunia ketika ini.

“Dalam tempoh ini, kita berdepan dengan kandungan palsu yang direka oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta mengubah suai tajuk berita arus perdana.

“Rakyat diharap mendapatkan maklumat sahih, membuat semakan dengan sumber tepat dan tidak berkongsi perkara yang tidak pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR menegaskan, pimpinan dan ahli Parlimen perlu memainkan peranan sebagai ejen kerajaan dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat berhubung situasi semasa.

Tambahnya, ahli parti juga perlu bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan khususnya dalam menangani dakwaan kekurangan bekalan makanan di peringkat runcit yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

“Apabila berada di kedai, perhatikan jika terdapat kekurangan bekalan kerana kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan termasuk menyorokkan bekalan,” katanya.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan perbicaraan berhubung saman fitnah yang difailkan terhadap tiga individu berhubung dakwaan beliau menyampaikan ceramah politik di dalam sebuah masjid pada 2023 akan bermula Isnin ini.

Menurutnya, kes tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Wan Azri Wan Deris, Ahmad Dusuki Abd Rani dan Mohd Fauzan Madzlan sebagai defendan.

“Insya-Allah, pada Isnin ini saya akan memulakan saman fitnah terhadap tiga individu yang telah memfitnah saya pada 2023.

“Saya dimaklumkan bahawa saya akan menjadi saksi pertama,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang itu diambil bagi membersihkan namanya selepas hampir tiga tahun kejadian tersebut berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast