Gambar : IPD Temerloh

TEMERLOH – Seorang penunda kereta ditahan bersama lebih satu kilogram (kg) dadah jenis syabu ketika serbuan pihak polis di kawasan Charuk Puting, di sini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, serbuan dijalankan pada jam 5 pagi semalam hasil maklumat dan risikan pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

“Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Honda HRV berwarna kelabu di lokasi terbabit.

“Polis turut mendapati terdapat empat paket plastik berwarna merah jambu yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 1,024.63 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah termasuk kereta terbabit dianggarkan bernilai RM112,252.50.

Menurut Mohd Nasyim, suspek yang mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah kini ditahan reman di bawah Seskyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama lima hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda mandatori gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan 15 sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Tegasnya, polis daerah Temerloh akan meneruskan risikan dan tindakan membanteras aktiviti pengedaran dadah secara proaktif dari masa ke masa.

Orang ramai juga diseru agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu kepada pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast