BUTTERWORTH – Satu sindiket samun berkumpulan bersenjatakan parang yang menyasarkan jurujual barang kemas tumpas selepas sembilan individu diberkas dalam Op Jingga D Garden.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan bermula 26 Mac hingga semalam di beberapa lokasi di daerah Barat Daya dan Timur Laut itu menyelesaikan kes kerugian kira-kira RM3.6 juta.
Katanya, hasil serbuan, tujuh lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan bersenjatakan parang di kawasan SPU.
“Polis turut merampas barang kemas seberat kira-kira 4,300 gram, sebilah parang, empat tayar bersama sportrim, tiga bentuk cincin serta dua motokar yang digunakan dalam kegiatan samun berkenaan.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan jurujual yang membawa sejumlah barang kemas untuk urusan penghantaran atau jual beli di kedai emas sekitar Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes samun berkumpulan yang dilaporkan pada 26 Mac lalu kira-kira jam 9.20 pagi di SPU.
“Kes itu melibatkan kerugian barang kemas seberat 6,023.69 gram dengan anggaran nilai semasa lebih kurang RM3.6 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mengulas lanjut Azizee berkata, mahkamah membenarkan tahanan reman terhadap lapan suspek bagi membantu siasatan lanjut, manakala permohonan reman terhadap seorang lagi suspek dibuat hari ini.
“Operasi masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menjejaskan siasatan polis dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette















