Datuk Dr. Loga Bala Mohan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan pemeriksaan mengejut ke atas semua rumah anak yatim dan pusat jagaan warga emas di seluruh negara susulan pendedahan kes penderaan di sebuah premis tidak berdaftar di Taman Selayang Permata.

Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Datuk Loga Bala Mohan berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap tahap pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, adalah membimbangkan apabila sebuah rumah anak yatim boleh beroperasi secara haram hampir sedekad tanpa dikesan.

“Perkara ini menimbulkan persoalan besar mengenai keberkesanan sistem penyeliaan. Adakah wujud kelemahan dalam pemantauan sehingga premis seperti ini boleh terus beroperasi?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, insiden itu juga membuka kemungkinan wujudnya lebih banyak premis tidak berdaftar yang berisiko mendedahkan kanak-kanak kepada penderaan tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Katanya, laporan penderaan membabitkan kanak-kanak seawal usia sembilan tahun dalam tempoh berpanjangan adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas membongkar kes berkenaan serta menyelamatkan mangsa yang terlibat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkukuh mekanisme pemantauan dengan memastikan semua pusat kebajikan didaftarkan, dilesenkan dan diperiksa secara berkala.

“Tiada kompromi terhadap sebarang salah laku. Premis haram mesti ditutup serta-merta dan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang bentuk penderaan atau aktiviti mencurigakan melibatkan golongan rentan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast