JAKARTA – Jenazah tiga anggota pengaman Indonesia yang terkorban semasa berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) tiba di Jakarta pada Sabtu, menandakan kepulangan yang penuh penghormatan bagi anggota tentera yang gugur itu.
Menurut Agensi Berita ANTARA, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 5.30 petang waktu tempatan dan disambut oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) sebelum ditempatkan di Bangunan VIP Terminal 3, yang majlis sambutan dijadualkan akan diketuai oleh Presiden Prabowo Subianto.
Tiga anggota yang terkorban dikenal pasti sebagai Kapten (Infantri) Zulmi Aditya Iskandar, Sarjan Muhammad Nur Ichwan dan Prejurit Satu Farizal Rhomadhon.
Farizal terkorban akibat tembakan artileri berhampiran kedudukan kontinjen UNIFIL Indonesia di kawasan Adchit Al Qusayr di selatan Lubnan pada 29 Mac, manakala sehari kemudian, Zulmi dan Muhammad Nur Ichwan terkorban apabila konvoi tentera yang mereka iringi diserang.
Lima lagi anggota TNI cedera dalam insiden tersebut. Pada 3 April, tiga lagi anggota pengaman Indonesia cedera susulan letupan di El Addaiseh, selatan Lubnan.
Prabowo dijangka memberi penghormatan terakhir kepada anggota yang terkorban sebelum mereka diterbangkan ke Bandung dan Yogyakarta untuk pengebumian di kampung halaman masing-masing selepas majlis penghantaran secara ketenteraan.
Terdahulu, majlis penghormatan telah diadakan di Lubnan pada 2 April di hangar Tentera Udara Lubnan di Beirut, yang diketuai oleh Komander Pasukan dan Ketua Misi UNIFIL Mejar Jeneral Diodato Abagnara.
Semasa majlis tersebut, Komander Pasukan UNIFIL meletakkan skaf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas keranda dan menyampaikan ucapan takziah kepada ahli kontinjen Indonesia. — BERNAMA















