KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) akan bermesyuarat Isnin ini bagi mengawal risiko ketirisan bekalan tenaga untuk keperluan domestik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, mesyuarat kali kedua itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof yang akan memberikan penerangan berkaitan status pelaksanaan penguatkuasaan.
Menurut beliau, antara strategi yang dilaksanakan ialah memperkasa pelaksanaan ops sedia ada iaitu OPS TIRIS 3.0 kepada OPS TIRIS 4.0 yang lebih bersepadu.
Katanya, langkah tegas memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran amat penting bagi membanteras ketirisan bekalan sama ada dalam bentuk penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan.
“Ia dilakukan dengan memperkukuh kerjasama merentasi badan penguatkuasaan dan agensi kerajaan berkaitan yang berkuat kuasa 16 Mac lalu.
“Operasi penguatkuasaan yang melibatkan semua agensi berkaitan akan melibatkan tiga kluster utama iaitu daratan, perairan dan sempadan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Armizan, seperti yang dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri pada Taklimat Krisis Tenaga Global kelmarin, bekalan petroleum negara stabil dan kerajaan sedang menggerakkan pelan kontigensi untuk memastikan kelangsungan keterjaminan bekalan tenaga bagi memenuhi keperluan domestik.
Ujar menteri berkenaan, dalam menjamin kelangsungan bekalan, antara fokus utama kerajaan bukan sahaja memastikan kestabilan bekalan, malah mengambil langkah segera untuk memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran.
Katanya juga, selain penguatkuasaan di lapangan, langkah memperkukuh kawalan juga melibatkan pemantauan harian melalui dashboard pangkalan data rantaian pengedaran.
Jelasnya, ini meliputi keseluruhan rantaian pengedaran merentasi kilang penapisan hingga ke peringkat peruncitan termasuk keseluruhan fasiliti penyimpanan, stesen minyak dan pengguna industri.
“Kawalan dan pemantauan menyeluruh ini penting mengambil kira kepelbagaian modus operandi aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan,” ujarnya.
Armizan turut menyatakan, selain OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) yang melibatkan badan dan agensi kerajaan berkaitan, KPDN juga akan memperkasakan gerakan KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.
Jelas beliau, KITA GEMPUR merupakan satu langkah strategik kerajaan yang telah dilancarkan pada 19 Oktober 2024 untuk membina gerakan massa melalui pendekatan seluruh negara dalam mengekang isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan.
Sehubungan itu, jelasnya, KPDN mengalu-alukan kebersamaan dan penglibatan awam termasuk dalam menyalurkan maklumat berkaitan.
“Namun, masyarakat diingatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat, serta tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan situasi panik dan kegusaran awam.
“Sebarang perbuatan menyebarkan maklumat palsu atau tidak tepat boleh dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.
Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan melalui:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my);
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette















