JAKARTA – Gunung Dukono di timur Indonesia meletus pada Sabtu, menghamburkan abu setinggi 1,400 meter dari puncaknya.
Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Berapi (PGA) Dukono, Bambang Sugiono berkata letusan itu berlaku kira-kira 11.08 pagi waktu tempatan.
“Abu berwarna putih hingga kelabu dan kelihatan tebal bergerak ke arah barat daya mengikut tiupan angin,” katanya dipetik Agensi Berita ANTARA, pada Sabtu.
Beliau berkata Gunung Dukono, dengan ketinggian 1,087 meter dari aras laut kekal pada Tahap II (Waspada), menandakan aktiviti gunung berapi melebihi paras normal.
Rekod seismograf turut menunjukkan aktiviti gunung berapi secara berterusan dan berkala.
Bambang memberi amaran bahawa letusan Gunung Dukono berubah-ubah dan boleh berlaku pada bila-bila masa, manakala abu bergantung pada perubahan arah serta kelajuan angin.
Beliau juga mengingatkan bahawa abu gunung berapi menimbulkan risiko kesihatan khususnya kepada sistem pernafasan serta menggesa penduduk di kawasan terjejas supaya memakai pelitup muka atau penutup muka.
Gunung Dukono meletus dua kali pada Jumaat, dengan letusan pertama pada 11.06 pagi waktu tempatan menghamburkan abu setinggi kira-kira 1,500 meter di atas puncak dan pada 5.28 petang dengan abu setinggi 4,000 meter. — BERNAMA
















