Jason H’ng Mooi Lye meninjau JOW yang disediakan kepada orang ramai bagi mendapatkan khidmat nasihat perundangan bersama Norazmi di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) merekodkan 25,097 khidmat nasihat perundangan sepanjang tahun lalu dengan kira-kira 9,683 kes dibawa ke mahkamah.

Daripada jumlah itu, kira-kira 6,060 kes dibawa ke Mahkamah Syariah manakala 3,623 kes ke mahkamah sivil termasuk 1,279 kes jenayah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Norazmi Mohd Narawi berkata, sebahagian besar kes lain berjaya diselesaikan melalui mediasi, yang bukan sahaja mengurangkan prosiding mahkamah tetapi juga melindungi maruah pihak terlibat.

“Selain kes yang dibawa ke mahkamah, sebanyak 2,344 kes berjaya diselesaikan melalui mediasi.

“Kaedah mediasi ini membantu pihak yang terlibat mencapai penyelesaian secara rundingan, terutama untuk isu sensitif seperti rumah tangga, jagaan anak dan nafkah, supaya masalah tidak terlalu terdedah,” katanya kepada pemberita pada Program Taklimat Khidmat Mediasi dan Justice On Wheel (JOW) di sini, hari ini.

Norazmi.

Terdahulu, majlis berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa trend peningkatan kes tidak dapat diukur secara langsung kerana pelbagai faktor mempengaruhi kesedaran masyarakat dan akses kepada bantuan guaman.

“Kadang-kadang memang ada isu undang-undang, tapi kesedaran tak ada, jadi orang pun takkan datang kepada kita (JBG).

“Ada juga halangan lain seperti jarak atau kekangan tertentu. Jadi nak kata meningkat tak meningkat pun tak tentu,” jelas beliau.

Beliau juga menekankan kolaborasi JBG dengan penjara terutamanya bagi banduan yang mengaku salah, bagi memastikan proses bantuan guaman menyeluruh.

Katanya, pihaknya turut sedia bekerjasama dengan pusat komuniti atau pusat khidmat ADUN bagi memberi kesedaran tentang hak undang-undang serta mendapatkan khidmat nasihat guaman.

“Setiap kes, sama ada di bandar atau desa, kita akan terus bantu dan tiada pengasingan bagi JBG dalam membantu rakyat khususnya berkaitan masalah perundangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Norazmi turut menyorot peranan JBG dalam menyokong pelaksanaan akta anti-buli, di mana tribunal boleh merujuk kes kepada jabatan bagi penyelesaian melalui mediasi.

“Bila wujud tribunal, tribunal boleh rujuk ke JBG untuk isu-isu mediasi. Kes buli pun boleh diselesaikan di luar mahkamah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast