Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang bekas pengerusi sebuah kuil di negeri ini kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kuil tersebut berjumlah kira-kira RM50,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 70-an itu ditahan kira-kira pukul 3 petang kelmarin, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada November 2021 dan turut bersubahat dengan seorang lagi individu yang telah ditahan Mac lalu, dengan mengemukakan invois tuntutan bayaran perkhidmatan konsultansi berjumlah RM50,000 bagi tujuan kerja-kerja pembaikan kuil berkenaan.

“Bagaimanapun, kerja-kerja tersebut dipercayai tidak pernah dilaksanakan dan hanya helah untuk mengelirukan pihak pengurusan kuil,” katanya.

Kata sumber, kini siasatan tertumpu kepada kuil tersebut yang telah wujud sejak tahun 1950-an dan sumber kewangan utama kuil tersebut adalah melalui sumbangan serta derma daripada penganut agama Hindu yang beribadah di situ.

Jelas sumber, hasil siasatan turut mendapati pendaftaran kuil tersebut telah dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada Oktober 2024 dan pada masa yang sama kuil tersebut juga didapati dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

“Keadaan kuil yang tidak berdaftar menyebabkan ketiadaan pemantauan oleh pihak berkuasa terhadap pengurusan kewangan dan perbelanjaannya, sekali gus membuka ruang kepada berlakunya penyelewengan dana sumbangan orang awam.

“Penyelewengan ini dipercayai telah memberi kesan kepada operasi serta kebajikan kuil, termasuk menjejaskan aktiviti keagamaan dan kepercayaan penganut terhadap pengurusan institusi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dituduh dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast