KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahukan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang menimpa negara, bukan menyalahkan rakyat yang menyuarakan kritikan.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, bukan salah rakyat jika terus mengkritik dan menunding jari kepada Perdana Menteri, Timbalan dan kerajaan kerana krisis tenaga yang membebani mereka.
“ Jangan salahkan kerajaan walaupun memang PM10, Zahid Hamidi dan kerajaan PH-BN yang GAGAL dan bersalah?
“Eloklah rakyat ingatkan Zahid bahawa dia diberi jawatan dalam kerajaan, bersama gaji, elaun, pegawai dan peruntukan.
“ Malah bil elektrik, minyak dan tol dia, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai pejabat mereka pun dibayar menggunakan duit rakyat.
“Jadi eloklah Zahid melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat dan negara, bukan menyalahkan rakyat yang membuat kritikan,” dakwa beliau dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Tun Faisal selanjutnya mendakwa, Ahmad Zahid merupakan sebahagian daripada kerajaan PH-BN yang sejak 2023 mentadbir negara dengan polisi yang menyusahkan rakyat dan membebankan perniagaan.
Dakwa beliau, polisi dan pendekatan yang salah telah menekan rakyat dan perniagaan sepanjang tempoh 2023 hingga 2026.
Ujarnya, kerajaan PH-BN bertanggungjawab mengakibatkan kos sara hidup rakyat meningkat dan kos operasi perniagaan melambung tinggi apabila cukai bertambah dan kadar serta skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) meningkat.
Dakwa beliau lagi, pelepasan kos tidak berimbang (ICPT) dan tarif elektrik dinaikkan sepanjang tempoh 2023 hingga awal tahun 2026 walaupun harga arang batu dan gas asli global menurun.
“Harga minyak RON95 dan diesel tidak diturunkan walaupun sejak tahun 2023 sehingga Disember 2025, harga minyak mentah global turun.
“Malah, harga diesel dinaikkan bermula RM1.20 dan kini harganya sudah melebihi RM6 manakala harga petrol RON95 dinaikkan bermula dengan sen dan kini harga sudah melebihi RM3.80.
“Rakyat tidak perlukan alasan, rakyat perlukan penyelesaian. Bukan salah rakyat jika mereka mengkritik dan menunding jari kepada PM10 dan kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette















