KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad melontarkan persoalan mengenai hala tuju agenda reformasi selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bukan sahaja bergelar parti kerajaan malah parti Perdana Menteri.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, Nik Nazmi mengajak keseluruhan anggota parti itu untuk berfikir semula berkenaan perjuangan dan agenda reformasi serta cara parti itu menangani kritikan.
“Adakah ia berbeza atau dua kali lima sahaja dengan cara pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menangani kritikan?
“Adakah kita masih menarik mereka yang sarat dengan idealisme atau hanya yang bercita-cita memegang kuasa semata-mata?
“Adakah kita lebih gemar mencari alasan melengah-lengahkan perubahan atau mencari jalan untuk melaksanakannya sedaya-upaya kita?” soalnya.
Mengimbau perjalanan PKR, Nik Nazmi berkata, pada 4 April lalu genap 27 tahun penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKN) yang kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia untuk membentuk PKR.

“Pada waktu itu, PKN merupakan parti derita yang lahir di jalanan dan hanya mempunyai harapan serta idealisme sebagai wadah memperjuangkan agenda reformasi dan politik pelbagai kaum.
“Tidak seperti lahirnya parti baharu lain, PKN tidak menarik menteri atau pimpinan kanan kerajaan, tetapi masyarakat sivil dan rakyat biasa mendokongnya.
“Saya pelajar sekolah tingkatan 5 juga teruja dan dua tahun kemudian membantu parti yang dilihat parti nyamuk tanpa masa hadapan.
“Sepanjang lebih 20 tahun parti melawan rasuah, memperjuangkan idealisme keadilan untuk semua dan mendokong prinsip reformasi,” katanya yang turut berkongsi beberapa foto lama termasuk ketika ditahan pihak berkuasa ketika era reformasi jalanan.
Jelas bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu, memang mudah untuk orang menyertai parti ketika berada di puncak kuasa kerana pelbagai jawatan dan kesenangan yang boleh ditawarkan.
“Keikhlasan sebenar hanya teruji sewaktu parti berdepan tekanan dan habuan cumalah perjuangan idealisme semata-mata. Ketika parti ditekan pemerintah, ketika pimpinan parti keluar masuk lokap, ketika habuan cumalah perjuangan idealisme; pada ketika inilah mereka yang benar-benar ikhlas datang menghulurkan tangan kepada parti,” katanya.
PKR menyambut ulang tahun ke 27 pada 4 April lalu dan kini menjadi parti pemerintah dengan presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette
















