Anwar Ibrahim menyampaikan bantuan kepada penerima pada program bersama warga Felda di Felda Semenchu, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kesan lebih besar mungkin dirasai jika konflik di Asia Barat berlarutan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Perdana Menteri berkata, kesannya amat besar dan mencabar bukan sahaja dihadapi dunia tetapi bakal dirasai di seluruh negara ini.

Bagaimanapun, menurutnya, bekalan petrol dan diesel di Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal ketika ini dalam keadaan ekonomi dunia dan rantaian bekalan tenaga berdepan tekanan akibat krisis bekalan tenaga.

“Ini (perang) kalau keadaan tak berubah satu dua bulan ini kesannya sampai ke setiap kampung di negara ini, percayalah… saya berdoa supaya dapat dileraikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu di sini, hari ini.

Jelasnya, kerajaan ketika ini masih mampu menampung tekanan kenaikan harga minyak dunia melalui subsidi, namun keadaan itu tidak boleh bertahan terlalu lama sekiranya perang berpanjangan.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat agar terus bersatu dan bersabar menghadapi cabaran semasa selain mengamalkan sikap berjimat cermat dalam mengurus perbelanjaan harian.

Anwar pada masa sama berkata, kerajaan akan memastikan kebajikan warga Felda terus dijaga sebaiknya serta menyelesaikan isu-isu melibatkan penduduk.

“Antara isu diutarakan melibatkan isu rumah generasi kedua Felda, antaranya melibatkan isu penyambungan bekalan elektrik dan air.

“Itu semua kita akan perhalusi dan bantu sebaiknya demi kesejahteraan warga Felda,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast