Loga dan gambar hiasan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menangguhkan penyaluran geran kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Wahyu di Kuala Lumpur susulan siasatan terhadap dakwaan ketidakpatuhan pengurusan dana bantuan serta isu keselamatan pelatih.

KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan telah dijalankan oleh Pasukan Inspektorat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 4 Dis lepas susulan aduan awal selaras dengan Tatacara Pengurusan Kehilangan dan Hapuskira Wang Awam WP10.3.

“Susulan siasatan yang dijalankan dan sebagai langkah pencegahan dan memastikan integriti pengurusan dana awam terpelihara, penyaluran geran bagi sesi 2026/2027 telah ditangguhkan sehingga hasil siasatan muktamad diperoleh,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPWKM, siasatan awal turut mendapati terdapat unsur kecuaian sehingga menjejaskan keselamatan pelatih dalam satu insiden pada 11 Mac lepas.

“Petugas terbabit telah direhatkan sementara siasatan lanjut dilakukan,” katanya.

Isu berkenaan tercetus susulan perkongsian seorang pengguna aplikasi Threads yang mendakwa bantuan kewangan sebanyak RM500 untuk anaknya yang juga pelatih Orang Kurang Upaya belum disalurkan.

Satu laporan polis turut dibuat oleh wanita itu yang mendakwa anaknya cedera selepas terjatuh daripada kerusi sorong ketika dipercayai ditinggalkan tanpa pengawasan oleh petugas pusat berkenaan. — BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast