Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengurangan kuota subsidi bahan api daripada 300 liter kepada 200 liter dijangka memberi tekanan besar kepada penjawat awam khususnya mereka yang berulang-alik jauh ke tempat kerja di bandar utama.

Presiden Gabungan Pembantu Tadbir Malaysia (Gapeta), Anuar Mamat berkata, langkah itu akan memberi kesan langsung kepada penjawat awam yang tinggal di pinggir bandar akibat kos perumahan tinggi di pusat bandar.

Menurutnya, ramai dalam kalangan mereka terpaksa menempuh perjalanan sehingga 80 hingga 100 kilometer setiap hari, terutama di kawasan seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

“Sebahagian besar penjawat awam menggunakan lebih 300 liter bahan api sebulan. Apabila kuota dikurangkan, kos harian mereka akan meningkat dan ini memberi tekanan tambahan kepada golongan bergaji rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, situasi itu boleh menjejaskan kesejahteraan serta prestasi kerja penjawat awam sekiranya beban kos sara hidup terus meningkat tanpa sebarang pelarasan.

Presiden Gabungan Pembantu Tadbir Malaysia (Gapeta), Anuar Mamat

Tambah beliau, kesan pengurangan subsidi itu lebih dirasai oleh petugas sektor kritikal seperti polis, bomba dan kesihatan yang tidak dibenarkan bekerja dari rumah (BDR), sebagaimana dinyatakan dalam surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 2 April lalu.

“Golongan ini tiada pilihan selain hadir bertugas setiap hari. Jadi, penggunaan bahan api mereka memang tinggi dan tidak boleh dikurangkan seperti sektor lain,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pelaksanaan pengurangan kuota tersebut termasuk mempertimbangkan pemberian kuota subsidi 300 liter secara bersasar kepada penjawat awam yang benar-benar terkesan.

Menurutnya, pendekatan bersasar lebih adil terutama kepada kumpulan pelaksana yang berpendapatan rendah dan tinggal jauh dari tempat kerja.

“Kerajaan perlu melihat realiti di lapangan. Ramai penjawat awam tidak mempunyai pilihan selain tinggal jauh kerana harga rumah di bandar terlalu tinggi,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan itu dengan sewajarnya demi menjaga kebajikan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast