KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 17, Jalan Like Heng-Mawai di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Asisten Komisioner Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 10.02 pagi babitkan MPV Toyota Estima dan motosikal jenis Honda RS-X.
“Kemalangan berlaku apabila motosikal terbabas masuk laluan arah bertentangan dan bertembung dengan MPV berkenaan. Penunggang lelaki dan pemandu wanita kedua-dua berusia 40 tahun.
“Akibatnya penunggang, Mohd Auzuddin Mohamad Piah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk prosedur siasatan manakala pemandu itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut Yusof, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun.- MalaysiaGazette















