Seorang lelaki warga emas yang keluar mencandat sotong sejak tiga hari lalu ditemukan lemas di Pantai Laganda, Tanjung Gosong, Pekan, petang semalam.

KUANTAN – Mimpi tiga anak perempuan Allahyarham Mohd Ishak Ismail menjadi nyata apabila warga emas yang hilang sejak Rabu lalu ditemukan terdampar di tepi pantai selepas keluar mencandat sotong pada Rabu lalu.

Menantu mangsa, Mohd Ridzuan Mat Jusoh, 40, berkata, ketiga- ketiga anak mangsa berkongsikan mereka bermimpi bertemu jasad bapa mereka sebelum waktu Maghrib.

“Anak perempuan pertama, kedua dan ketiga berkongsi mimpi mereka kepada keluarga ketika berkumpul di Pantai Sepat semalam.

“Tidak sangka mimpi mereka menjadi nyata, dan Alhamdulillah jasad ayah berjaya ditemukan walaupun sudah tidak bernyawa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jasad bekas pesara kontraktor itu ditemukan oleh orang awam di Pantai Lagenda pada petang semalam sebelum waktu Maghrib.

Mayat bapa anak sembilan itu kemudian dibawa ke Hospital Pekan oleh pihak polis untuk dilakukankan proses bedah siasat di unit forensik sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beserah pada awal pagi tadi.

Mohd Ridzuan Mat Jusoh

Sementara itu, Mohd Ridzuan berterima kasih kepada semua pihak dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam usaha mencari bapa mentuanya sama ada dalam operasi di laut dan darat.

Sebelum ini, media melaporkan misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang keluar mencandat sotong sejak tiga hari lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemukan lemas di Pantai Lagenda, Tanjung Gosong, Pekan, petang semalam.

Mangsa, Mohd Ishak, 63, ditemukan pada pukul 6.30 petang oleh pasukan penyelamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga.

Mayat mangsa dijumpai pada jarak kira-kira 32 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi (PKO) Pantai Sepat, lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

Operasi SAR digerakkan sejurus menerima panggilan kecemasan pada 2 April lalu disertai 27 anggota diketuai pihak polis dengan kerjasama bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast