Ketua Cabang Keadilan Putrajaya, Muhammad Fikri Abdul Aziz.

PUTRAJAYA –  Parti Keadilan Rakyat (PKR) Putrajaya menghormati keputusan bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Putrajaya yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli parti, namun menegaskan langkah itu tidak menjejaskan kekuatan dan hala tuju perjuangan organisasi.

Timbalan Pengerusi Keadilan Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Cabang Keadilan Putrajaya, Muhammad Fikri Abdul Aziz berkata, sebagai parti yang mendukung prinsip demokrasi, pihaknya tidak menghalang mana-mana individu untuk membuat keputusan peribadi termasuk menentukan haluan politik masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perjuangan PKR tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu, sebaliknya kekal berteraskan agenda reformasi institusi, keadilan sosial serta usaha berterusan memperjuangkan kebajikan rakyat.

“Perjuangan ini bersifat kolektif dan lebih besar daripada mana-mana individu. Fokus kita adalah memastikan agenda reformasi terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara memerlukan kepimpinan yang konsisten, matang serta mempunyai hala tuju yang jelas dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Sehubungan itu, katanya, sebarang tindakan individu yang boleh mencetuskan persepsi negatif perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak seharusnya dijadikan ukuran kepada kekuatan parti secara keseluruhan.

“Kami yakin struktur organisasi dan kekuatan akar umbi Keadilan Putrajaya kekal utuh serta mampu terus bergerak ke hadapan,” ujarnya.

Muhammad Fikri berkata, pihaknya akan terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, selain memastikan agenda reformasi yang diperjuangkan parti diteruskan secara konsisten dan berkesan.

Katanya, usaha memastikan kestabilan politik juga akan terus diberi perhatian kerana ia penting dalam menjamin keyakinan rakyat serta kelangsungan pembangunan negara.

“Kami komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat, khususnya komuniti di Putrajaya dengan semangat kebersamaan, integriti dan keazaman yang tinggi,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyeru semua anggota parti dan penyokong supaya kekal tenang serta tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap gerak kerja parti.

“Fokus utama ketika ini adalah memperkukuh parti dan mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat, bukan melayan spekulasi yang tidak membawa manfaat,” katanya.

MalaysiaGazette pagi ini melaporkan bekas calon PKR bagi Parlimen Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa hari ini.

Dalam surat rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, beliau memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas tidak lagi memahami hala tuju serta perkembangan parti sejak Konvensyen PKR 2025 di Johor Bahru.

Difahamkan, keputusan itu turut dipengaruhi faktor peribadi termasuk keperluan menjaga kesihatan fizikal dan mental, selain beberapa isu berkaitan pengalaman beliau sepanjang berada dalam parti termasuklah sokongan utuh beliau kepada Datuk Seri Rafizi Ramli. -MalaysiaGazette

Noraishah keluar PKR, ikrar sokong Rafizi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast