Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli terselamat daripada usul untuk menggantung beliau sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pandan dengan kelebihan lapan undi.

Memetik laporan portal Harapandaily, seramai 34 perwakilan menyokong usul itu dengan 42 yang lain mempertahankan beliau.

Usul agar Rafizi digantung atau digugurkan sebagai Ketua Cabang PKR Pandan itu dibawa perwakilan PKR dari Tasik Permai, Sukumaran dalam Mesyuarat Agung Tahun Cabang PKR Pandan yang diadakan di Dewan Komuniti Cheras Indah di sini, tengah hari tadi.

Bagaimana Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR tidak menyertai mesyuarat agung yang beliau merupakan ketua cabangnya itu.

Dalam usulnya, Sukumaran berkata, beliau bimbang dengan kenyataan Rafizi yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) di Pandan tetapi bukan atas tiket PKR atau Pakatan Harapan (PH).

Foto: Portal Harapandaily

Oleh itu, beliau mengusulkan agar Rafizi digantung jawatannya atau digugurkan sebagai Ketua Cabang Pandan.

Dalam usul itu, perwakilan mesyuarat agung itu berkata: “Kita ambil maklum kenyataan Ketua Cabang Pandan pada 22 Februari 2026 yang telah dilaporkan oleh beberapa media yang telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan tetapi bukan akan tiket PKR.

“Walaupun saudara KC (Ketua Cabang) tidak menyatakan hasrat untuk keluar parti sebelum pembubaran Parlimen atau atas kapasiti apa beliau akan bertanding kelak, namun pastilah akan berlaku pertembungan antara beliau dan calon yang akan bertanding di bawah tiket PKR/PH.

“Maka sebagai ahli Cabang Pandan, kami merasa khuatir dan terganggu dengan pendirian saudara KC yang pastinya akan memberi kesan kepada peluang untuk Parti Keadilan atau Pakatan Harapan khususnya di Pandan untuk mengekalkan kerusi Pandan.

“Sehubungan itu, kami merasakan saudara KC tidak lagi sesuai untuk terus memegang jawatan KC Pandan dan kami mengusulkan agar YB Dato Seri Rafizi Ramli digantung /digugurkan dari jawatan Ketua Cabang Pandan,” kata Sukumaran yang menyampaikan usul tersebut seperti dipetik portal Harapandaily hari ini. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast