KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dijadualkan berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah Khas Rasuah Shah Alam, esok.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya telah memperoleh izin pendakwaan terhadap wanita terbabit, dengan prosiding ditetapkan bermula pukul 8.30 pagi.
Jumaat lepas, Norhazni Mat Sari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan menerima wang berjumlah RM21,000 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Norhazni yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS didakwa menerima wang tanpa balasan daripada syarikat E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd..
Dana berkenaan dipercayai dimasukkan melalui pindahan dalam talian ke akaun bank milik anaknya di sebuah cawangan bank di Bukit Bintang pada 18 April 2022.
Kes berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette
















