KUALA LUMPUR– Dua puluh satu warga asing ditahan di sebuah pusat membeli-belah di Sungai Petani, Kedah, semalam dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
JIM Negeri Kedah berkata, operasi Ops Kutip yang dijalankan sekitar pukul 12.30 tengah hari pada 5 April itu memeriksa 127 warga asing dan 21 daripadanya ditahan kerana gagal mengemukakan pas atau permit yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Sebahagian daripada warga asing yang diperiksa turut bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pegawai operasi. Bagaimanapun, cubaan mereka gagal kerana kawasan tersebut telah dikepung dan dikawal rapi oleh anggota penguat kuasa,” kata JIM Kedah dalam satu kenyataan.
Menurut JIM Kedah, lokasi operasi dipilih susulan aduan masyarakat mengenai kehadiran warga asing yang didakwa menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung, khususnya pada hujung minggu.
Pihaknya menegaskan bahawa tidak semua warga asing adalah pendatang asing tanpa izin (PATI), malah hasil pemeriksaan mendapati hanya 21 daripada 127 individu diperiksa didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63.
JIM Kedah memaklumkan, operasi dan pemeriksaan berkala akan terus dipergiatkan di seluruh negeri bagi membendung isu kebanjiran PATI. -MalaysiaGazette
















