KUANTAN – Seorang buruh kontrak didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah mengemukakan maklumat palsu dalam cubaan mendapatkan taraf kewarganegaraan untuk anaknya.
Mohd Sahal Sayadi, 58, juga dikenakan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda itu.
Sebelum itu, bapa kepada 10 orang anak itu mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut kertas pertuduhan, dia yang merupakan pemastautin tetap didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan Pembetulan Maklumat Dalam Daftar Kelahiran anak perempuannya yang berusia 16 tahun.
Kesalahan di bawah Seksyen 36 (1) (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) itu didakwa dilakukannya pada 30 September 2024 kira-kira jam 3.30 petang di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang.
Berdasarkan fakta kes, maklumat palsu yang dikemukakan itu merupakan Kutipan Akta Cerai dari Pengadilan Agama Bawean, Indonesia.
Bagaimanapun, hasil semakan JPN Negeri Pahang mendapati, Surat Konfirmasi Pengesahan Akta Cerai warga Indonesia yang dikeluarkan Kedutaan Besar Republik Indonesia Kuala Lumpur itu adalah tidak berdaftar.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya JPN, Fakhrol Anuar Sani, manakala tertudud telah diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – MalaysiaGazette
















