Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff

KUALA LUMPUR – Kemelut membabitkan NexG terus menjadi tanda tanya apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Hanifah Noordin didesak tampil memberi penjelasan penuh kepada lembaga pengarah syarikat.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menegaskan, tanggungjawab itu tidak boleh dielakkan memandangkan isu yang timbul melibatkan perbelanjaan besar berjumlah RM303.7 juta.

Menurut beliau, lembaga pengarah pula wajib menyalurkan maklumat tersebut kepada pemilik sebenar syarikat iaitu para pemegang saham.

“Jika pemegang saham NexG mahukan penjelasan mengenai isu terkini syarikat tersebut, ahli lembaga pengarah termasuk CEO harus mengadakan sesi taklimat dan maklum balas bersama pemegang saham syarikat.

“Sebagai pemilik syarikat NexG, pemegang saham NexG boleh meminta lembaga pengarah syarikat untuk memberi penerangan tentang isu yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmed Razman, keperluan memberi penjelasan bergantung kepada pihak yang menuntut jawapan, namun tanggungjawab lembaga pengarah tetap jelas.

“Lembaga pengarah kena beri penjelasan kepada pemegang taruhnya.

“Lembaga pengarah syarikat bertanggungjawab kepada pemilik syarikat dan pemegang taruhnya. Kalau pemegang taruh meminta penjelasan, lembaga pengarah kena beri penjelasan,” katanya.

Sebelum ini, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius dakwaan bahawa Victor Chin Boon telah meninggalkan negara ketika siasatan sedang dijalankan berhubung perbelanjaan RM303.7 juta melibatkan NexG Bhd.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, Abu Hanifah Noordin perlu mengambil tanggungjawab untuk tampil memberikan penjelasan berhubung perbelanjaan RM303.7 juta antara November 2024 hingga September 2025.

Perbelanjaan tersebut berlaku ketika Victor Chin Boon Long memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast