Seorang tentera berpangkat koperal diiringi anggota Polis dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong bagi pertuduhan memukul seorang lagi anggota sehingga mengakibatkan kecederaan, ketika di Kompleks Mahkamah Bentong, Pahang. Foto SADIQ SANI, 06 APRIL 2026.

BENTONG – Seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tujuh anggota tentera lain dalam kejadian minggu lalu.

Tertuduh, Sukry Tasu, 37, kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan dan memohon dirinya dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Prebet Muhammad Amirul Raziq, 24, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di stor senjata Kompeni C, Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini pada 31 Mac lalu.

Bagi enam lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap enam anggota lain mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Seorang tentera berpangkat koperal diiringi anggota Polis dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong bagi pertuduhan memukul seorang lagi anggota sehingga mengakibatkan kecederaan, ketika di Kompleks Mahkamah Bentong, Pahang. Foto SADIQ SANI, 06 APRIL 2026.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 bagi setiap enam pertuduhan lain dengan seorang penjamin.

Majistret turut menetapkan syarat tambahan agar tertuduh tidak menghampiri atau mengganggu semua mangsa sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Hafiz Baharudin.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, kejadian dilaporkan berlaku di kem berkenaan melibatkan tujuh anggota berusia antara 19 hingga 22 tahun.

Seorang daripada mangsa dilaporkan parah hingga koma dan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Terdahulu juga kelihatan beberapa anggota keluarga tertuduh menunggu di luar dan enggan wajah mereka dirakam media. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Koperal tentera pukul 7 anggota, seorang koma didakwa di mahkamah hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast