Seorang duda warga Singapura diberkas berkhalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Bandaraya Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Perkenalan seorang seorang duda warga Singapura dengan seorang wanita tempatan di sini yang merupakan isteri orang setahun lalu berakhir dengan hubungan terlarang.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memberitahu, hubungan intim tersebut terbongkar apabila pasangan tersebut diberkas pihak penguat kuasa ketika berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di bandar raya ini.

Menurut JAINJ, penahanan dibuat dalam operasi cegah maksiat pada pukul 4 petang semalam selepas mendapat aduan daripada orang awam.

“Tiba di pintu bilik, penguat kuasa mengetuk pintu dan ia dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan berlenggeng.

“Tiba di pintu bilik, penguat kuasa mengetuk pintu dan ia dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan berlenggeng.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke dalam bilik untuk pemeriksaan lanjut. Pintu tandas ketika itu bertutup dan penguat kuasa bertanya kepada lelaki berkenaan siapa di dalam dan lelaki itu berkata kawannya tanpa beritahu lelaki atau wanita,” maklum kenyataan tersebut.

Penguat kuasa mengetuk pintu tandas dan dibuka seminit kemudian oleh seorang wanita yang berseluar panjang dan t-shirt lengan panjang.

Jelas kenyataan berkenaan, mereka mengaku tiada hubungan mahram dan bukan suami isteri.

JAINJ memaklumkan, lelaki dan wanita itu berusia 30-an dengan lelaki berstatus duda anak satu, warga Singapura serta bekerja di republik itu manakala wanita berstatus isteri orang dan bekerja di daerah ini.

Hotel disewa atas nama wanita dengan bayaran RM200 namun si lelaki kemudian mengaku duit itu dibayar olehnya.

“Hasil siasatan mendapati mereka sudah berdua-duaan di dalam bilik hotel itu kira-kira satu jam. Lelaki itu katanya bercuti dan datang ke Johor Bahru dengan menaiki motosikal. Wanita itu pula baru pulang kerja tetapi tidak balik ke rumah terus ke hotel berkenaan.

“Ditemui juga dua nasi bungkus yang belum dimakan serta air. Apabila ditanya apa mereka buat berdua dalam bilik hotel, lelaki itu kata dia demam dan tumpang berehat kerana kepenatan.

“Bilik hotel bukan hospital atau klinik untuk merawat orang sakit seperti yang diceritakan. Semua alasan ini sengaja direka walaupun tidak masuk akal.

“Hakikatnya, mereka  berdua di hotel tanpa apa-apa ikatan.”

JAINJ berkata, pasangan bukan mahram itu sudah berkenalan kira-kira setahun di sebuah pasar raya dan wanita yang sudah bersuami itu dilihat pandai menyimpan rahsia tentang hubungan terbabit daripada suaminya sekian lama.

Tambah JAINJ, pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast