Anuar Mamat

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Pembantu Tadbir dan Operasi Putrajaya dan Selangor (Gapeta) berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat melibatkan pihaknya serta kesatuan berkaitan dengan segera berhubung pelaksanaan kenaikan skim pembantu tadbir ke gred lima yang diumumkan kerajaan.

Presiden Gapeta, Anuar Mamat dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman dan pertimbangan yang diberikan terhadap skim berkenaan yang melibatkan kira-kira 125,000 pembantu tadbir di seluruh negara.

“Alhamdulillah, Gapeta telah melaksanakan usaha tanpa jemu bersama CUEPACS dalam memohon dan memperjuangkan tuntutan ini.

“Kami amat berterima kasih atas pengumuman yang dibuat dan berharap segala perancangan ke arah pelaksanaannya dapat diperincikan secepat mungkin,” menurutnya.

Menurut Anuar, skim pembantu tadbir yang sebelum ini dikenali sebagai pegawai kerani merupakan antara skim perkhidmatan yang sudah lama menuntut peningkatan gred namun tidak menikmati perubahan seperti skim lain termasuk guru dan jururawat.

Katanya, perjuangan bagi meningkatkan gred skim berkenaan telah lama digerakkan oleh pelbagai kesatuan sekerja sejak berpuluh tahun lalu sebelum akhirnya mendapat pertimbangan kerajaan.

“Jika melihat sejarah skim pembantu tadbir, ia merupakan antara skim yang tidak pernah mengalami peningkatan gred berbanding skim-skim lain.

“Justeru, pengumuman ini pastinya memberi sinar baharu kepada penjawat awam dalam skim berkenaan,” katanya lagi.

Menurut beliau, Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan kenaikan gred itu tertakluk kepada beberapa syarat tertentu dan kini berada dalam tindakan JPA sebelum dijangka dilaksanakan pada Januari tahun depan.

Sehubungan itu, Gapeta berharap pihak berkepentingan dapat segera mengadakan sesi libat urus bersama wakil skim pembantu tadbir bagi membolehkan pandangan, idea dan cadangan dikemukakan sebelum pelaksanaan dimuktamadkan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan kenaikan gred tersebut berjalan secara lebih harmoni serta memberi manfaat menyeluruh kepada semua pembantu tadbir yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast