Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menerima cenderahati daripada Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad pada program ‘Voice of Her Forum - Wanita dan Kuasa Ekonomi, Survival, Kepimpinan dan Pemilik Aset’ di Auditorium UMNO, World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 APRIL 2026

​KUALA LUMPUR – Penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara menunjukkan angka positif, namun penglibatan golongan itu dalam pemilikan perniagaan masih berada pada tahap rendah.

​Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, data semasa menunjukkan hanya sekitar 21 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia diterajui oleh golongan wanita.

Menurutnya, lebih membimbangkan sumbangan golongan itu kepada jumlah output kasar negara juga hanya mencatat sekitar 3.6 peratus.

“Jurang tersebut berlaku disebabkan wujudnya halangan struktur yang menghalang wanita daripada memiliki aset penting seperti hartanah, tanah dan ekuiti perniagaan.

​”Persoalannya, mengapa jurang ini masih wujud? Jawapannya kembali kepada tema utama kita hari ini iaitu ‘pemilikan aset’.

“Tanpa aset ini, akses kepada kredit menjadi terhad dan pengembangan perniagaan menjadi sukar.

“Akhirnya, ramai wanita kekal terperangkap pada tahap usahawan mikro kerana kekurangan cagaran dan pengaruh kewangan,” katanya.

​Beliau berucap merasmikan sesi pertama Forum Voices of HER bertemakan ‘Women & Economic Power: Survival, Leadership and Asset Ownership’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Noraini, penyertaan wanita dalam tenaga kerja yang kini mencecah 56 peratus bukan definisi mutlak kepada pemerkasaan ekonomi yang sebenar.

​”Pemerkasaan yang mampan hanya akan tercapai apabila wanita mempunyai kuasa membuat keputusan dan memiliki aset sendiri.

​”Dalam istilah ekonomi, penyertaan sahaja tidak cukup, dapat gaji bulanan semata-mata juga tidak mentakrifkan pemerkasaan sebenar.

​”Pemerkasaan yang nyata datang daripada pemilikan aset, peluang dan mempunyai kuasa membuat keputusan sebenar,” tambahnya.

Sementara itu, Noraini berkata, platform Voices of HER diwujudkan bukan sekadar sebagai acara tahunan, sebaliknya berfungsi sebagai badan pemikir dasar nasional.

“Platform ini akan menghimpunkan golongan profesional, penyelidik dan penggubal dasar bagi menghasilkan cerapan berasaskan bukti dan data sebenar, bukan sekadar andaian atau sentimen.

​”Mesejnya jelas, apabila wanita berkembang secara ekonomi, mereka turut mengangkat orang lain bersama mereka.

“Kajian menunjukkan wanita yang melabur semula sehingga 90 peratus daripada pendapatan mereka akan kembali kepada keluarga dan komuniti,” ujarnya.

Noraini turut berharap agar semua pihak dapat bekerjasama meruntuhkan halangan struktur sedia ada bagi membina generasi wanita yang bukan sahaja cekal dalam kesukaran, malah yakin dalam merebut peluang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast