MELAKA – Bunyi dentuman kuat yang didakwa seakan letupan bom sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk di seluruh tiga daerah di negeri ini awal pagi tadi disahkan berpunca daripada fenomena guruh akibat ribut petir.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, kejadian itu berlaku susulan cuaca tidak stabil yang melanda negeri ini antara pukul 1 hingga 3 pagi.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Hisham Mohd. Anip berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian luar biasa seperti letupan atau gempa bumi.
Terdahulu, media sosial kecoh apabila ramai pengguna Threads berkongsi pengalaman masing-masing mendakwa terdengar bunyi kuat seakan ‘bom’ di beberapa lokasi termasuk Merlimau, Krubong, Masjid Tanah, Tanjung Minyak, Sungai Rambai, Alor Gajah, Duyong, Bukit Rambai dan Sungai Udang.
“Setakat ini, kami tiada menerima apa-apa maklumat mengenai kejadian ini (bunyi seakan letupan bom). Berdasarkan rekod, tiada kejadian gempa bumi yang dilaporkan, namun memang ada cuaca ribut petir berlaku di Melaka sekitar pukul 1 hingga 3 pagi tadi,” kata Hisham ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, bunyi dentuman kuat itu berkemungkinan besar adalah guruh yang berlaku serentak dengan aktiviti kilat yang aktif ketika ribut.
“Kalau berlaku dalam tempoh antara 1 hingga 3 pagi itu, kemungkinan ia guruh,” jelasnya lagi.
Seorang pengguna, Aainramzi berkata, bunyi tersebut sangat kuat di Merlimau sehingga mengejutkannya dari tidur dan menyebabkan bekalan elektrik terputus.
“Sesiapa yang duduk Melaka? Tadi area Merlimau korang dengar tak bunyi letupan petir kuat gila? Tapi macam bukan petir, macam ‘bom’ yang kuat meletup. Terus terjaga sampai elektrik mati. Sumpah takut,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Nabiha turut mengakui mengalami situasi sama sehingga pintu biliknya bergegar manakala pengguna lain, ppyayuni.bullbarzini yang berada di Krubong menyifatkan bunyi itu seakan meriam buluh namun lebih pelik.
Mohd_Helmy_emmy94 pula memaklumkan bunyi tersebut kedengaran di Masjid Tanah sehingga membangunkannya dari tidur sementara Mia_fahmi81 yang berada di sekitar Tanjung Minyak dan Bertam Hulu berkata, bunyi kuat itu turut didengarinya.
Seorang lagi pengguna, Em0by1pn4 dari Merlimau mengakui ketakutan sehingga sukar melelapkan mata semula.
sehinggalah bunyi itu reda sekitar 3 lebih pagi.
Vanilaberrys pula mendakwa bunyi sama turut kedengaran di Pengkalan Balak sementara qurraatu_aini dari Sungai Rambai menyifatkan bunyi itu sangat kuat seperti petir.
Pengguna ftinnnn9_ pula memaklumkan bunyi tersebut turut didengari di Alor Gajah manakala dakejaan dari Duyong berkata, bunyi itu kedengaran sekitar pukul 2.30 pagi dan berpanjangan seperti guruh.
Fatin_elena di Bukit Rambai pula berkata, dia sempat memeriksa rakaman kamera litar tertutup kerana menyangka bunyi itu sementara azkiyah.omar dari Sungai Udang menyifatkan bunyi tersebut seperti letupan. – MalaysiaGazette
















