KUALA LUMPUR – Isu pembinaan rumah ibadat bukan Islam tanpa kelulusan sah terus menjadi polemik berulang yang menimbulkan perbincangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar berkata, perkara itu lazimnya bermula daripada status tanah serta kelulusan pembinaan sebelum berkembang menjadi isu lebih luas apabila melibatkan pelbagai pihak.
Menurutnya, keadaan tersebut menunjukkan pentingnya kefahaman yang jelas terhadap undang-undang serta prosedur berkaitan bagi memastikan pengurusan rumah ibadat dilakukan secara teratur.
“Isu ini selalunya bermula dengan persoalan pembinaan tanpa kelulusan, dan ia boleh berlarutan sekiranya tidak ditangani mengikut saluran yang betul.
“Justeru, pemahaman terhadap undang-undang dan prosedur tanah amat penting bagi memastikan perkara ini dapat diurus dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, Mahima mengambil inisiatif menganjurkan seminar kebangsaan bagi memberi pendedahan kepada komuniti India serta pengurusan kuil mengenai aspek perundangan tanah dan perancangan pembangunan rumah ibadat.
Katanya, seminar bertajuk “Memahami Kanun Tanah Negara & Akta Perancangan Bandar dan Desa: Tanah Untuk Kuil” itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta kefahaman terhadap prosedur yang perlu dipatuhi.
“Kami mengambil inisiatif menganjurkan seminar kebangsaan pada 11 April ini bagi memberi pendedahan dan maklumat kepada komuniti India mengenai akta tanah serta aspek perancangan bandar.
“Realitinya, ramai yang mempunyai tanah atau rumah ibadat, tetapi tidak mempunyai pengetahuan jelas mengenai prosedur yang betul,” ujarnya.
Beliau berkata, seminar itu bukan sahaja memberi penerangan asas, malah turut menyediakan panduan praktikal kepada peserta.
“Dalam seminar ini, kami bukan sahaja akan menerangkan Akta Tanah dan Perancangan Bandar, tetapi turut memberi panduan praktikal.
“Contohnya, jika seseorang memiliki tanah secara sah, apakah proses perlu dilalui untuk memastikan penggunaan tanah itu mematuhi saluran yang betul,” jelas beliau.
Tambahnya, kehadiran pakar termasuk perancang bandar dalam seminar tersebut akan membantu peserta memahami proses berkaitan kelulusan, pembangunan serta pengurusan tanah rumah ibadat dengan lebih jelas.
Menurut Sivakumar, pemahaman terhadap Kanun Tanah Negara serta Akta Perancangan Bandar dan Desa penting bagi memastikan pembangunan rumah ibadat dilaksanakan secara tersusun dan mematuhi garis panduan pihak berkuasa tempatan.
Seminar berkenaan dijadual berlangsung pada 11 April ini, dari pukul 9 pagi hingga 3 petang di Dewan Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor.
Majlis itu akan dirasmikan Pengerusi Sri Maha Mariamman Devasthanam Kuala Lumpur merangkap Penasihat Mahima, Tan Sri Dr R. Nadarajah.
Program tersebut dianjurkan Mahima dengan kerjasama Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Kuala Lumpur (SMMTD), Concerned UM Indian Graduates (CUMIG) serta Team DSK. -MalaysiaGazette














