KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen Pelancongan Malaysia (MATA) mengukuhkan kerjasama strategik dengan pihak pelancongan di Hainan, China bagi mempromosikan destinasi mesra Muslim kepada pelancong Malaysia, termasuk menawarkan pakej pelancongan halal dengan kemudahan lengkap seperti restoran halal, hotel mesra Muslim serta kemudahan ibadah.
Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif MATA, Ahmad Jafri Ngah Ali, kolaborasi itu dijalankan bersama CKR Executive dan beberapa agensi pelancongan tempatan termasuk Orange Leisure Sdn Bhd yang memfokuskan kepada pengenalan destinasi utama di China yang memenuhi keperluan pelancong Islam.
Beliau berkata, pada 2019, pihaknya telah mengatur beberapa lawatan ke China termasuk ke Pulau Hainan dan Yunnan bersama pihak Hainan Tourism, sekali gus memberi peluang kepada agensi pelancongan Malaysia merasai sendiri pengalaman serta memahami produk pelancongan yang ditawarkan.
“Program ini membolehkan pihak Hainan mempromosikan Malaysia kepada pelancong China, manakala agensi Malaysia pula dapat mempelajari pembangunan produk pelancongan halal di sana,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, pelbagai pakej khas ditawarkan kepada pelancong Muslim termasuk lawatan ke masjid, restoran halal serta destinasi menarik yang mematuhi syariat.
Dalam pada itu, Hainan kini dilihat sebagai destinasi percutian mesra Muslim yang semakin mendapat perhatian, khususnya di bandar Sanya yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti rangkaian restoran halal, hotel mesra Muslim serta kemudahan ibadah termasuk masjid dan surau.
Difahamkan, terdapat lebih enam masjid di Sanya dengan kira-kira 10,000 penduduk Muslim menetap di bandar tersebut, sekali gus memberi keselesaan kepada pelancong Malaysia untuk bercuti tanpa kebimbangan terhadap keperluan agama.
Selain itu, Hainan turut terkenal dengan musim buah-buahan khususnya laici yang berlangsung antara Mei hingga Jun, di mana pelancong berpeluang menikmati buah segar terus dari ladang, membawa pulang hasil tuaian serta menyertai pakej agro pelancongan yang ditawarkan.
Kerjasama ini dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan halal dengan membuka peluang pasaran lebih luas di peringkat antarabangsa, selain menekankan aspek keselamatan, keselesaan dan pengalaman mesra Muslim.
Ahmad Jafri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menegaskan usaha tersebut akan terus diperkasa bagi memperkukuh hubungan pelancongan antara Malaysia dan China. – MalaysiaGazette
















