KUALA LUMPUR – Sebanyak 110 premis termasuk kilang haram dan pusat besi buruk telah diserbu menerusi Op Hazard 3.0 yang dijalankan di seluruh negara hari ini.
Operasi bersepadu bermula jam 7 pagi itu menumpukan kepada kegiatan pemprosesan e-waste secara haram yang dikenal pasti boleh menjejaskan alam sekitar selain melanggar undang-undang.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, daripada 110 premis yang diperiksa, sebanyak 87 premis dikesan terlibat dalam aktiviti berkaitan e-waste.
“Ia turut melibatkan 14 kilang haram dan setakat ini, tujuh premis masih lagi dalam siasatan lanjut.
“Kita turut memeriksa seramai 729 individu, terdiri daripada 154 warganegara dan 575 bukan warganegara.
“Daripada jumlah itu, seramai 205 individu telah ditahan melibatkan 39 warganegara, 66 bukan warganegara serta 100 warga asing yang berada di negara ini secara tidak sah,” katanya dalam sidang media selepas operasi di Kapar, Klang hair ini.

Tambah beliau, operasi itu dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan melibatkan seramai 1,611 anggota daripada pelbagai agensi.
“Daripada jumlah itu, 1,089 adalah pegawai dan anggota PDRM, manakala selebihnya terdiri daripada agensi lain.
“Ia melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Operasi ini bermula seawal jam 7 pagi dengan penggunaan 293 aset yang merangkumi 201 kereta, 51 van, 30 lori dan 11 dron,” jelasnya.

Sementara itu mengenai rampasan, beliau berkata sebanyak 316,278.5 kilogram e-waste dan 388,230 kilogram barangan lusuh berjaya dirampas.
“Selain itu, sebanyak 9,350 kilogram barangan lain turut disita menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM55,228,165.25.
“Pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan 342 kompaun dengan nilai keseluruhan RM82,450 terhadap premis yang didapati melanggar peraturan,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, semakan mendapati produk akhir daripada pemprosesan e-waste itu dipercayai akan dihantar ke negara ketiga termasuk China untuk tujuan kitar semula.
“Bahan tersebut mengandungi elemen berharga seperti aluminium, timah, tembaga dan emas yang diekstrak daripada komponen elektronik.
“Op Hazard 3.0 adalah kesinambungan daripada operasi terdahulu yang memberi fokus kepada isu pencemaran alam sekitar serta kemasukan e-waste secara haram ke dalam negara,” katanya.
Mohamad Suzrin turut memaklumkan, satu sidang media lanjut akan diadakan oleh Ketua Polis Negara pada Jumaat ini bagi memperincikan keseluruhan hasil operasi tersebut. – MalaysiaGazette
















