KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah tidak tertumpu kepada pengumuman besar atau pendekatan populis sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis pada 28 Disember 2025.
Pengarah Strategi Komunikasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Perlis, Syed Ahmed Najib Syed Abdul Rahman berkata, Abu Bakar menggunakan pendekatan kepimpinan tidak tergesa-gesa namun mempunyai disiplin dan arah yang jelas.
“Dalam suasana politik yang sering menuntut hasil segera, pendekatan beliau kelihatan lebih tertumpu kepada membina asas sebelum memecut. Tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh struktur pentadbiran negeri.
“Beberapa siri mesyuarat penyelarasan serta usaha memperkemas koordinasi antara jabatan kerajaan, agensi negeri dan syarikat berkaitan kerajaan memperlihatkan fokus awal untuk memastikan jentera pentadbiran benar-benar berfungsi dengan efisien.
“Ini mungkin tidak kelihatan ‘menarik’ dari sudut persepsi umum tetapi dalam realiti pentadbiran, inilah asas sebenar kepada kejayaan sesuatu dasar.
“Tanpa penyelarasan jelas, dasar baik sekalipun berisiko gagal di peringkat pelaksanaan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada sempena 100 hari pentadbiran Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis hari ini.
Pada 28 Disember 2025, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melantik Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis baharu.
Pelantikan Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis bagi menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan sebagai Menteri Besar akibat faktor kesihatan pada 25 Disember tahun lalu.
Syed Ahmed Najib juga berkata, kekuatan pentadbiran bermula daripada sistem yang tersusun, bukan sekadar pengumuman dasar.
“Pada masa sama, saya juga melihat penekanan yang konsisten terhadap hubungan dengan Kerajaan Persekutuan. Bagi Perlis, hubungan ini bukan sekadar formaliti tetapi satu keperluan strategik.
“Banyak agenda pembangunan negeri bergantung kepada keupayaan untuk mendapatkan sokongan, peruntukan dan kerjasama daripada peringkat pusat,” katanya.
Pendekatan yang diambil dalam tempoh awal ini menunjukkan kesedaran bahawa pembangunan negeri tidak boleh bergerak secara silo, sebaliknya memerlukan jaringan kerjasama yang kukuh, katanya.
Menurut Syed Ahmed Najib, pengenalan platform Perlis Mendengar bukan sekadar satu program pentadbiran tetapi satu isyarat jelas tentang budaya kepimpinan yang ingin dibentuk.
“Melalui platform ini, kerajaan negeri membawa agensi terus ke lapangan untuk berinteraksi dengan rakyat, mendengar isu yang dihadapi serta menyelesaikan masalah secara lebih langsung.
“Pendekatan ini, bukan sahaja memecahkan jarak yang sering wujud antara kerajaan dan rakyat, tetapi juga mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Banyak perkara yang sebelum ini memerlukan proses panjang kini boleh dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih pantas,” katanya.
Selain itu, katanya, Perlis Mendengar mencerminkan satu peralihan paradigma dalam pentadbiran daripada pendekatan satu hala kepada pendekatan dua hala.
“Ia bukan lagi tentang kerajaan menyampaikan dasar kepada rakyat, tetapi tentang kerajaan mendengar, memahami dan bertindak berdasarkan realiti di lapangan.
“Dalam konteks masyarakat hari ini yang semakin kritikal dan berinformasi, pendekatan seperti ini bukan sahaja relevan, tetapi perlu.
“Pendekatan turun padang yang konsisten bukan sekadar simbolik. Ia memberi ruang kepada kepimpinan negeri untuk melihat sendiri isu yang dihadapi rakyat, bukan hanya bergantung kepada laporan atas kertas,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kehadiran kepimpinan di lapangan menjadi penting untuk memastikan dasar yang dibuat benar-benar berasaskan keadaan sebenar.
“Dalam banyak keadaan, realiti di lapangan sering berbeza daripada apa yang dilaporkan secara rasmi. Tempoh seratus hari ini juga memperlihatkan usaha awal untuk memahami dan menyusun potensi ekonomi negeri.
“Perlis mungkin kecil dari segi saiz tetapi ia mempunyai kelebihan strategik yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Dalam masa sama, kedudukan Perlis sebagai negeri sempadan membuka peluang kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan, perdagangan serta logistik.
“Sektor pertanian kekal sebagai kekuatan utama negeri. Dengan tanah subur serta produk bernilai tinggi seperti harumanis, Perlis mempunyai peluang untuk membangunkan sektor agrofood lebih moden dan berorientasikan pasaran eksport.
“Jika diurus dengan baik, sektor ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan rakyat, tetapi juga meletakkan Perlis sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan makanan negara,” katanya.
Jelasnya, sektor pelancongan tidak boleh diketepikan kerana keunikan landskap semula jadi, suasana yang autentik serta kedudukan geografi strategik memberi ruang kepada pembangunan pelancongan lebih berasaskan pengalaman.
“Dalam era pelancongan moden, nilai autentik dan pengalaman tempatan menjadi tarikan utama, dan Perlis mempunyai kelebihan dalam aspek ini.
“Namun semua potensi ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa pentadbiran yang stabil, tersusun dan mempunyai hala tuju yang jelas,” katanya.
Beliau juga berkata, tempoh 100 hari pertama dilihat sebagai fasa meletakkan asas bukan untuk menunjukkan hasil segera tetapi untuk memastikan negeri bersedia bergerak ke fasa pembangunan yang lebih agresif.
“100 hari pertama ini, pada saya, bukanlah penamat kepada satu penilaian, tetapi permulaan kepada satu pendekatan kepimpinan yang lebih matang.
“Ia memberi gambaran bahawa kepimpinan negeri sedang bergerak ke arah pentadbiran yang lebih tersusun, lebih responsif dan lebih dekat dengan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















