KUALA LUMPUR – Ekonomi masa depan dijangka dipacu oleh tiga sektor utama iaitu digital, hijau dan kesejahteraan yang mencerminkan perubahan struktur dalam arah pertumbuhan global, kata Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, ekonomi digital kini muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan keupayaan teknologi memudahkan urusan harian, meluaskan pasaran serta membolehkan perniagaan tempatan bersaing di peringkat global.
Katanya lagi, ekonomi hijau pula memberi penekanan kepada pembangunan mampan tanpa menjejaskan alam sekitar, termasuk penggunaan tenaga bersih, pembangunan industri lestari serta pengurusan sumber yang lebih efisien demi memastikan ketahanan jangka panjang.
“Ekonomi kesejahteraan semakin mendapat perhatian apabila masyarakat kini lebih menitikberatkan aspek kesihatan, keseimbangan hidup dan kesejahteraan mental, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap gaya hidup yang lebih sihat,” jelas beliau menerusi hantaran di Facebook.
Kesimpulannya beliau berkata, masa depan ekonomi bukan sekadar mengejar pertumbuhan semata-mata, tetapi menekankan kualiti pertumbuhan dengan memanfaatkan teknologi, memelihara alam sekitar serta meningkatkan kesejahteraan hidup. – MalaysiaGazette
















