Seorang wanita maut manakala suaminya cedera dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Kulai-Kota Tinggi, Kluang, hari ini.

KULAI – Seorang wanita maut manakala suaminya cedera apabila motosikal dinaiki mereka terlibat nahas tiga kenderaan di Kilometer 6 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal, lori dan jip. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 27 tahun bersama-sama pembonceng iaitu isterinya berusia 21 tahun dari arah Kota Tinggi menghala ke arah Kulai.

“Tiba di lokasi kemalangan jip dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 75 tahun dari arah bertentangan telah membelok ke kanan untuk masuk ke simpang menyebabkan motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan pembonceng jatuh ke laluan bertentangan dan dilanggar lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Katanya, akibat kemalangan tersebut pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang pula cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast