Kapal operasi Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR  – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mempertingkatkan pemantauan strategik termasuk penggunaan teknologi satelit dan risikan di kawasan panas yang dikenal pasti sebagai laluan utama.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk  Mohd Rosli Abdullah berkata, ia bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.

“Maritim Malaysia komited untuk memperkukuh dan memperhebat operasi penguatkuasaan di perairan negara, khususnya dalam membanteras aktiviti penyeludupan termasuk pemindahan minyak secara haram melalui kaedah kapal ke kapal (ship to ship -STS) termasuk kegiatan bunkering tidak sah di perairan Malaysia.

“Maritim Malaysia akan terus memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, terancang dan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain bagi menutup sebarang ruang ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Tambah beliau, Maritim Malaysia sedia menggalas tanggungjawab dalam usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi, selaras dengan pengumuman kerajaan.

Jelasnya, penetapan agensi itu sebagai peneraju sektor perairan adalah amanah yang akan digalas dengan penuh komitmen, berintegriti serta keberkesanan.

“Pengukuhan kawal selia terhadap kegiatan bunkering serta penubuhan Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Sabah, Sarawak dan Labuan akan memperkasakan lagi keberkesanan operasi di lapangan.

“Pendekatan operasi bersepadu melalui Ops Tiris 4.0 ini akan mempertingkatkan koordinasi antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara secara menyeluruh,” jelasnya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan telah memutuskan tindakan tegas termasuk penggantungan.

Katanya, ia termasuk pembatalan kelulusan kad fleet (fleet card) sekiranya berlaku penyalahgunaan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan subsidi diesel nelayan.

Dalam pada itu, Mohd Rosli  mendedahkan sepanjang tahun 2025, agensi itu telah merekodkan rampasan bahan api melibatkan nilai keseluruhan hampir RM6.5 juta, merangkumi 13,290 liter diesel dan 247,333 liter petrol.

“Statistik ini jelas menunjukkan keseriusan serta keupayaan Maritim Malaysia dalam membanteras ketirisan bahan api di perairan negara, dan usaha ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan. Setiap pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tanpa pengecualian,” tegasnya.

Mohd Rosli turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau aduan jenayah maritim ke Pusat Operasi Maritim Negeri berhampiran atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast