Hu Shen (tengah) dan Boon Jaw Yan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas kesalahan buang puntung rokok di tempat awam.

JOHOR BAHRU – Akibat membuang puntung rokok di tempat awam, dua lelaki warga Singapura masing-masing didenda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama enam jam oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Datuk Che Wan Zaid Che Wan Ibrahim membuat keputusan itu selepas orang kena saman (OKS) Lim Hu Shen dan Tan Boon Jaw Yan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan.

Kedua-dua OKS yang bekerja sebagai arkitek dan pengurus projek itu juga diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama enam jam dengan tempoh dua jam sehari dan perlu dilaksanakan tidak lebih daripada enam bulan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua OKS tersebut yang kedua-duanya berusia 38 tahun dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua OKS didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan pintu masuk utama KSL City Mall di sini antara pukul 11 pagi dan 11.11 pagi pada 3 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan suatu perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Rubiah Maulud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast