KUALA LUMPUR – Kenyataan Pas Shah Alam yang menggesa Perdana Menteri menggantung tugas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan disifatkan sebagai tidak matang dan tidak bertanggungjawab.
Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman menjelaskan, ini kerana tiada satu laporan mahu pun siasatan telah dibuka berhubung dakwaan ahli perniagaan Victor Chin yang dikatakan mengaitkan Naib Presiden PKR itu dengan elemen rasuah.
Tegasnya, prinsip keadilan menuntut agar semua pihak diberi layanan yang sama tanpa memilih bulu.
“Oleh itu, adalah tidak wajar mana-mana pihak tampil seolah-olah lebih suci dengan membuat desakan keras terhadap pihak lawan politik, sedangkan rekod serta isu-isu yang pernah dilaporkan sebelum ini turut melibatkan pelbagai pihak termasuk Pas sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengambil contoh laporan media dan siasatan awam sebelum ini termasuk isu penahanan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki menyalahguna jawatan dan kedudukannya dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Selain itu, Syed Badli Shah turut menyebut mengenai kes melibatkan ahli Parlimen Pas yang ditahan SPRM terkait projek ternakan lembu Kedah dengan menerima RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
Beliau turut membangkitkan kes melibatkan menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditahan SPRM berhubung siasatan kes tuntutan palsu serta anak Ahli Dewan Undangan Negeri Pas di Pahang yang ditahan PDRM berkenaan kes rogol gadis bawah umur.
Menurut beliau, skandal tersebut hanyalah sedikit daripada rasuah yang lebih besar yang pernah didedahkan dan mengikut logik PAS, maka Perikatan Nasional terutamanya Pas harus gantung ahli-ahli mereka ataupun pecat mereka.
“Hakikatnya Pengerusi Perikatan Nasional Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar juga masih berdiam diri sehingga hari ini tetapi ada masa buat konvoi motor.
“Dalam masa sama, Pas sendiri tidak terlepas daripada pelbagai tindakan undang-undang dan saman fitnah yang telah diputuskan di mahkamah melibatkan beberapa pimpinan mereka,” ujarnya lagi.
Jelasnya, antara kes saman fitnah yang disebut termasuklah melibatkan Ahli Parlimen Pas Siti Mastura Muhammad, bekas Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi dan Yang di Pertua Pas Perak, Razman Zakaria.
Terdahulu Pas Shah Alam menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggantung tugas Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan serta-merta bagi memastikan integriti siasatan terpelihara dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan tidak terjejas.
Gesaan itu susulan kenyataan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long atau Victor Chin, yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR menerima suapan berjumlah RM9.5 juta baru-baru ini.
Mohd Sukri yang juga merupakan Ketua Pemuda Pas Selangor berkata, pihaknya memandang serius kenyataan dikeluarkan ahli perniagaan itu. – MalaysiaGazette















