MUAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur premis perniagaan dan premis kediaman dijadikan pusat jagaan warga emas yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa JIM Cawangan Muar melakukan serbuan pukul 6 petang, pada Sabtu lalu.
Menerusi Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Selera itu dijalankan serentak ke atas beberapa premis perniagaan dan rumah kediaman termasuk yang dijadikan pusat jagaan warga emas.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, hasil pemeriksaan ke atas 42 individu dan seramai 27 warga asing ditahan.
“Mereka terdiri daripada enam lelaki dewasa warganegara Indonesia, 11 lelaki Myanmar, seorang kanak-kanak lelaki Indonesia, seorang kanak-kanak lelaki Myanmar dan seorang kanak-kanak perempuan Myanmar.
“Ini termasuk tiga wanita dewasa Indonesia dan empat wanita dewasa Myanmar, semuanya berusia dalam lingkungan satu bulan hingga 48 tahun,” kataya dalam kenyataan hari ini.
Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63.
Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu, katanya, sekeping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
Pihaknya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan bersama-sama mengambil berat terhadap isu warga asing.
“Jabatan ini juga mengalu-alukan sebarang maklumat berkait kesalahan melindungi PATI serta pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















