Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Mahazir Mat Din (tengah), bergambar bersama pengusaha dan pemandu bas persiaran selepas sidang media PPBBM mengenai rayuan subsidi diesel kepada kerajaan di Dewan Beringin, Gombak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Industri bas persiaran dan van pelancongan kini berdepan tekanan hebat susulan kenaikan harga diesel yang berterusan.

Antara tuntutan utama pengusaha ialah subsidi diesel khas sebanyak 6,000 liter sebulan bagi bas persiaran dan 4,000 liter sebulan bagi van persiaran.

Sebanyak 5,649 unit bas dan van persiaran berdaftar di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terjejas secara langsung, sekali gus menjejaskan rantaian ekonomi pelancongan tempatan.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Mahazir Mat Din berkata, pihaknya merayu kerajaan khususnya Perdana Menteri agar mempertimbangkan pemberian subsidi diesel demi kelangsungan industri tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Mahazir Mat Din. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 APRIL 2026

“Tujuan kami berhimpun hari ini adalah untuk memohon dan merayu agar kerajaan khususnya Perdana Menteri membantu industri bas persiaran dan van persiaran melalui subsidi diesel kerana kenaikan harga diesel yang berterusan amat membebankan pengusaha,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Mahazir, pengusaha bas persiaran ketika ini masih dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19 namun sekali lagi diuji dengan peningkatan kos operasi yang semakin membebankan.

“Pengusaha bas persiaran sebenarnya baru berada dalam fasa pemulihan selepas Covid-19 dan masih menanggung komitmen kewangan yang tinggi termasuk beban moratorium yang boleh mencecah hampir RM100,000 bagi sebuah bas.

“Namun, kami kini sekali lagi berdepan tekanan akibat kenaikan harga minyak yang menjejaskan kelangsungan operasi,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengusaha bas persiaran, Mohd Sadam Husein berkata, rayuan yang dibawa pihak industri bukan semata-mata untuk kepentingan syarikat, sebaliknya melibatkan ramai pihak lain yang bergantung kepada sektor berkenaan.

Pengusaha bas persiarann Mohd Sadam Husein.

“Rayuan ini bukan hanya untuk syarikat atau pengusaha bas semata-mata. Kesan yang berlaku ini sangat besar kerana ia melibatkan seluruh rantaian industri, termasuk pemandu, perusahaan kecil dan sederhana (IKS), hotel dan peniaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kos operasi menyebabkan pelanggan terutama pasaran tempatan semakin berhati-hati untuk membuat tempahan sehingga banyak perjalanan ditangguhkan atau dibatalkan.

“Saya sendiri bergantung sepenuhnya kepada pasaran tempatan. Bila kos meningkat, ramai pelanggan tidak berani menyewa kerana kekangan bajet. Akibatnya, banyak tempahan ditangguh atau dibatalkan dan kesannya bukan sahaja kepada pengusaha bas, tetapi juga kepada hotel, IKS dan sektor pelancongan setempat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemandu bas persiaran, Norhaimi Amarudin berkata, golongan pemandu antara yang paling terkesan apabila trip semakin berkurangan dan ada yang terpaksa menanggung hidup tanpa pendapatan tetap.

Perandu bas persiaran, Norhaimi Amarudin bercakap pada sidang media PPBBM mengenai rayuan subsidi diesel kepada kerajaan di Dewan Beringin, Gombak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 April 2026

“Kami bukan mahu melawan mana-mana pihak, cuma kami hanya mahu sedikit hak kami seperti yang dinikmati pihak lain. Sebagai pemandu, dalam sebulan kami boleh bekerja sekitar 20 hingga 23 hari dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000.

“Tetapi apabila trip dibatalkan terutama melibatkan tempahan syarikat atau jabatan kerajaan, kami terus hilang punca pendapatan,” katanya.

Norhaimi berkata, keadaan itu lebih membebankan apabila ramai pemandu mempunyai tanggungan keluarga yang besar.

“Saya sendiri mempunyai enam orang anak. Bila syarikat tak dapat trip, macam mana kami nak teruskan hidup dan tanggung semua perbelanjaan? Masalah utama kami sekarang ialah tiada pendapatan langsung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast