KUALA LUMPUR – Pemangku Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan mengkritik kerajaan Madani yang didakwa gagal menangani kegiatan sindiket penipuan yang kini semakin berleluasa dan terancang.
Beliau berkata, operasi pusat panggilan scam ketika ini bukan lagi berskala kecil sebaliknya berkembang sebagai jenayah terancang yang sistematik serta merentas sempadan.
“Tindakan penguatkuasaan ketika ini jelas tidak mencukupi dan gagal memberikan kesan pencegahan yang efektif. Sindiket scam terus beroperasi tanpa rasa gentar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, penggunaan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Seksyen 120 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 tidak setimpal pada masa ini.
Apatah lagi dengan skala jenayah yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada rakyat setiap tahun, katanya.
“Hukuman yang ringan dan terlalu umum hanya menunjukkan kelemahan serius dalam pendekatan perundangan. Sindiket mengambil kesempatan kerana tahu risiko yang dihadapi tidak sepadan dengan keuntungan mereka,” katanya.
Tegasnya lagi, kerajaan perlu segera meminda Seksyen 420 Kanun Keseksaan supaya lebih tegas, spesifik dan relevan dalam menangani jenayah scam moden.
“Pindaan mesti meliputi takrifan jelas terhadap penipuan digital, hukuman lebih berat serta peruntukan khusus untuk menjejaki dalang dan rangkaian kewangan sindiket.
“Kuasa penyiasatan juga perlu diperkukuh termasuk pembekuan aset dan pengesanan transaksi rentas sempadan,” ujar beliau.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh terus bersikap reaktif dan bergantung kepada undang-undang lapuk untuk menangani jenayah abad ke-21.
“Setiap hari kelewatan bermakna lebih ramai rakyat menjadi mangsa, kehilangan wang simpanan dan masa depan.
“Ini bukan lagi isu jenayah semata-mata tetapi melibatkan keselamatan ekonomi rakyat dan kredibiliti institusi negara. Kerajaan mesti bertindak segera, bukan sekadar retorik tetapi dengan reformasi undang-undang yang berani dan menyeluruh,” katanya lagi. -MalaysiaGazette















