GEORGE TOWN – Kes seorang wanita tempatan yang mengalami kecederaan menerima ugutan serta kerosakan kenderaan dalam kejadian di Balik Pulau pada 4 Mac lalu akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 40 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Balik Pulau selepas mendakwa dicederakan, diugut serta mendapati kenderaannya dirosakkan.
“Kejadian yang berlaku di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau dipercayai berpunca daripada perselisihan faham melibatkan dua lelaki warga tempatan.
“Mangsa juga telah mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya.
Media semalam melaporkan Penasihat Guaman DAP, RSN Rayer menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kes seorang wanita yang diserang di tempat awam walaupun laporan polis serta bukti kecederaan telah dikemukakan
Katanya, mangsa, Fam Yean Nie, 40, telah membuat laporan polis selain menjalani pemeriksaan perubatan yang mengesahkan kecederaan ‘soft tissue injury’ pada tangan kanan namun tiada sebarang patah tulang.
Rayer juga menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa berikutan kes tersebut dirujuk kepada majistret tanpa sebarang tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















